Jumaat, 23 Disember 2011

Sekolah SJKT Gopeng uzur, bahayakan murid

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh : December 23, 2011

IPOH - Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng hanya mempunyai 250 murid tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan keselamatan dan keselesaan mereka.

Dibuka sejak 65 tahun lalu, sekolah itu kini berdepan dengan isu bangunan uzur yang mendedahkan murid dan gurunya kepada risiko kemalangan.

Menurut Adun Teja, Chang Lih Kang berkata, sejak dibuka, sekolah itu tidak pernah menjalani kerja-kerja menaik taraf atau pembaikan sehingga ke hari ini.

Pihaknya dimaklumkan keadaan bangunan sekolah yang sudah terlalu uzur itu dikhuatiri mengundang risiko kepada murid-muridnya.

Beliau berkata, lebih membimbangkan siling dan dinding sekolah yang diperbuat daripada kayu itu sudah dimakan anai-anai menyebabkan ia mula berlubang serta reput.

“Aduan juga sudah banyak kali dibuat namun mereka mendakwa sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Adun Tronoh, V Sivakumar berkata, ramai ibu bapa yang sudah menyuarakan kebimbangan dan beliau pernah ke sekolah berkenaan namun dihalang atas alasan pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) tidak memberi kebenaran.

“Selepas dihalang, kami bawa perkara berkenaan kepada pengetahuan pihak Jabatan Kerja Raya. Kami turut bertanyakan soalan status sekolah itu ketika sidang dewan undangan negeri lalu dan memohon JKR memberi laporan terperinci.

“Pada 26 November lalu selepas sidang barulah pihak JKR memberikan jawapan berserta laporan lengkap Jun lalu. Pengarah JKR, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad ketika perjumpaan semalam (kelmarin) menyatakan beliau sedia maklum dengan masalah itu dan salah satu bilik darjah telah ditutup kerana rosak teruk.

“Kami difahamkan pihak JKR sedang menunggu peruntukan daripada JPN untuk disalurkan kepada sekolah berkenaan dan jika peruntukan diterima, JKR akan melakukan kerja-kerja penambahbaikan dengan anggaran kos yang dikemukakan berjumlah RM117, 000. Persoalannya mengapa sehingga ke hari ini masalah ini tidak diselesaikan,” katanya.

Pihaknya turut bercadang mengadakan perjumpaan pula dengan JPN pada minggu depan bagi membincangkan masalah yang dihadapi SJKT Gopeng.

Khamis, 22 Disember 2011

GESA UMUM STATUS TANAH

Rakyat Perak Tidak Mudah Lupa

Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 21/12/2011 di Ipoh.
Rakyat Perak Tidak Mudah Lupa

Dalam PRU 12 Rakyat Perak telah memberi mandat kepada  PAS, DAP dan PKR untuk memerintah negeri Perak. Ketiga-tiga parti ini telah membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri Perak . Tetapi,  kerajaan Barisan Nasional yang dengki terhadap kerajaan baru Pakatan Rakyat  itu telah menggunakan pelbagai taktik kotor untuk merampas kembali kerajaan pilihan rakyat. Barisan Nasional telah menggunakan kuasa kerajaan pusat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak. Seluruh rakyat Malaysia tahu bagaimana Barisan Nasional membeli ‘katak’ untuk  mereka kembali berkuasa di negeri Perak. Rakyat Perak tidak mudah lupa. Mereka sudah bersiap sedia  menghadapi pilihanraya 13 untuk memberi satu tamparan kepada Barisan Nasional yang bongkak dan rakus dalam menjatuhkan kerajaan pilihan mereka.  Rakyat Perak masih ingat tentang  beberapa peristiwa hitam yang berlaku di pada tahun 2009. Antaranya ialah:


1)      Peristiwa lompat katak yang menghilangkan majoriti kerajaan  Pakatan Rakyat di DUN Perak.
2)      SPR mencabar keputusan Speaker yang mengosongkan 3 kerusi DUN iaitu Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.
3)      Bagaimana Setiausaha Kerajaan Negeri membuat perangai menghalau Pimpinan Pakatan Rakyat daripada bangunan SUK.
4)      Bagaimana Dato Seri Nizar dipaksa untuk meletak jawatannya sebagai Menteri Besar  walaupun beliau tidak mahu berbuat demikian kerana kaedah yang bertentangan dengan undang-undang.
5)      Perlantikan Dato Seri Zambry sebagai Menteri Besar baru tanpa menjatuhkan Menteri Besar yang sedia ada di dalam Dewan Negeri Perak melalui undi tidak percaya.
6)      Perlantikan Penasihat Undang-undang Negeri untuk mewakili Speaker  di Mahkamah walaupun Speaker tidak mahu pegawai itu mewakilinya. Tujuannya adalah untuk menghalang Speaker melantik peguamnya sendiri.
7)      Menghalang Speaker  mengadakan sidang DUN untuk menyelesaikan krisis politik negeri Perak. Alasan diberi bahawa Speaker tidak ada kuasa memanggil dewan bersidang.  Sedangkan, Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak memberi kuasa itu kepada Speaker.
8)      Tidak mengakui keputusan Jawatankuasa Hak & Kebebasan yang menggantung Dato Seri Zambry  selama 18 bulan dan  6 orang EXCO lain selama 12 bulan daripada menghadiri sidang DUN.
9)      Mengunakan ratusan polis, FRU dan samseng untuk menghalang ADUN-ADUN memasuki bangunan SUK untuk bersidang pada 3 Mac 2009.
10)   Peristiwa Persidangan Bawah Pokok yang kemuncak akibat kejahatan Barisan Nasional menghalang Speaker menjalankan kewajibanya.
11)   Memecahkan plak pokok demokrasi oleh manusia-manusia yang tidak bermoral.
12)   Peristiwa Persidangan 7 Mei yang memalukan Perak dan Malaysia apabila berpuluh-puluh orang anggota polis memasuki Dewan  Negeri Perak untuk mengusung  keluar Speaker dan menguncinya dalam sebuah bilik stor.
13)   Kekecohan yang berlaku dalam  Dewan Negeri kerana melantik Dato Ganesan sebagai Speaker dengan cara yang jijik dan tidak sah.
14)   Semua keputusan-keputusan mahkamah  dalam Kes Menteri Besar, Speaker dan Ketua Kampung berpihak kepada Barisan Nasional, walaupun ramai pakar-pakar perlembagaan tidak bersetuju dengan keputusan-keputusan itu.
15)   Pengakuan yang di buat oleh bekas Ketua Hakim Negera Tun Zaki  baru-baru ini bahawa beliau tidak terlibat dalam melantik panel-panel hakim dalam semua kes-kes negeri Perak  walaupun itu adalah keperluan mandatori mengikut peruntukan undang-undang.
16)   Bagaimana Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa Dato Seri Nizar adalah Menteri Besar  Perak yang sah dan  kemudian keputusan itu diubah semula pada keesokan harinya.
17)   Peristiwa merampas jubah dan songkok Speaker di bangunan SUK dengan menggunakan kekerasan anggota polis.
18)   Bagaimana Dewan Negeri disalah gunakan oleh Barisan Nasional dengan cara menutup MIC , tidak memberi peluang kepada  ADUN-ADUN Pakatan Rakyat untuk berbahas, tidak menjawab soalan-soalan lisan dan bertulis, masa persidangan yang terlalu singkat,  pihak media diletakkan dalam bilik galeri, tidak membenarkan rakaman audio dan video, berpuluh-puluh anggotan polis mengawal persidangan dan macam-macam lagi.
19)   Bajet 2010 diluluskan dalam 20 minit tanpa perbahasan.
20)   Pelbagai laporan polis dan SPRM dibuat terhadap Speaker untuk mengertak dan mengugut Speaker daripada menjalankan tugasnya .

Semua peristiwa-peristiwa ini masih jernih dalam ingatan rakyat Perak. Barisan Nasional telah melakukan kesilapan besar dengan mengandaikan bahawa rakyat kita mudah lupa. Oleh itu, mereka telah menggunakan SPR, SPRM, mahkamah, polis, media, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri untuk merampas kerajaan rakyat secara tidak sah. Tetapi, rakyat Perak tidak akan memaafkan Barisan Nasional kerana menggunakan segala bentuk kekerasan dan taktik kotor untuk rampas satu kerajaan yang diberi kuasa oleh mereka. Oleh yang demikian, Barisan Nasional haruslah bersedia untuk menerima tamparan rakyat dalam PRU13 bukan sahaja di  negeri Perak malah kesan limpahan juga akan dirasakan di peringkat persekutuan

Rabu, 21 Disember 2011

Kecekapan Dan Keberkesanan Pejabat Daerah Perlu Ditingkatkan


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 21/12/2011 di Ipoh
Kecekapan  Dan Keberkesanan Pejabat Daerah Perlu Ditingkatkan

Adakah Pejabat-pejabat Daerah berfungsi dengan cekap dan berkesan? Ini merupakan satu soalan yang mudah dan tidak perlu penelitian yang terperinci.  Ramai diantara pelanggan yang melawat Pejabat Daerah merungut bahawa mereka terpaksa berulang alik untuk membuat sesuatu kerja. Satu daripada punca ketidak cekapan Pejabat Daerah ialah Pegawai Daerah itu sendiri. Pegawai Daerah adalah orang yang bertanggungjawab untuk pentadbiran dan pengendalian sebuah Pejabat Daerah. Tetapi, Pegawai Daerah sering kali tidak dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik. Kita tidak boleh menyalahkan Pegawai Daerah itu sepenuhnya. Banyak kelemahan dalam sistem pentadbiran kita yang menjadi batu penghalang kepada  seseorang Pegawai Daerah untuk menjalankan kewajibannya. 

Satu daripada halangan utama ialah beban yang terlalu berat harus dipikul oleh seseorang Pegawai Daerah. Jawatan ini adalah jawatan yang paling penting dalam sesebuah daerah. Oleh yang demikian, seseorang Pegawai Daerah terpaksa memegang beberapa  jawatan dalam  pelbagai badan dan jawatankuasa di daerah tersebut. Sebagai contoh beliau mempengerusikan Jawatankuasa Tindakan Daerah, Jawatankuasa Tanah dan macam-macam jawatan lain termasuk jawatankuasa ad hoc yang dibentuk dari masa ke semasa. Beban kerja yang melampau ini telah meremukkan produktiviti Pejabat Daerah pada keseluruhannya. 

Oleh kerana seseorang Pegawai Daerah memegang pelbagai portfolio maka adalah sukar untuk orang ramai berjumpa dengan beliau kerana kesibukan kerja. Sering kali orang mengadu bahawa Pegawai Daerah tidak berada di pejabatnya kerana menghadiri kursus dan mesyuarat. Ini menyukarkan orang ramai untuk mendapatkan keputusan mengenai sesuatu hal yang memerlukan kelulusan Pegawai Daerah itu. Mereka terpaksa menunggu  satu tempoh  masa yang lama untuk mendapat temu janji dengan Pegawai Daerah. 

Apabila Pegawai Daerah berada di pejabatnya, sering kali kita dapat lihat ramai yang datang menunggu untuk berjumpa dengannya. Ini juga menambahkan beban seseorang Pegawai Daerah dan mengganggu kerja-kerja pejabatnya. 

Seseorang Pegawai Daerah juga dibebankan lagi dengan jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah. Jawatan ini merupakan satu jawatan yang sangat penting dalam sesebuah kerajaan tempatan.  Pegawai Daerah juga pada kebiasaanya mempunyai dua pejabat iaitu Pejabat Tanah dan Daerah dan satu lagi di Majlis Daerah. Beliau perlu berada di kedua-dua pejabat itu untuk menjalankan tugasan yang berbeza.  Kedua-dua jawatan ini adalah cukup penting dan mempunyai tanggungjawap yang sangat berat.  Apabila dua jawatan yang penting ini dipegang oleh seorang individu, akibatnya rakyat terpaksa tanggung produktiviti yang lembab. 

Jawatan Pega wai Daerah  merupakan satu jawatan eksekutif  untuk melaksanakan polisi-polisi kerajaan di peringkat daerah. Manakala jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah pula lebih mirip kepada penggubal polisi di peringkat kerajaan tempatan. Adalah tidak rasional bagi seorang penggubal polisi juga menjadi  seorang  pelaksana polisi. Ini menyebabkan kuasa berpusat kepada seseorang Pegawai Daerah dan seterusnya boleh menyebabkan penyelewengan.  Perkara ini adalah juga bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi prinsip asas dalam amalan demokrasi.

 Dalam keadaan ini, ahli-ahli politik pula mengambil kesempatan untuk mempengaruhi Pegawai Daerah bagi tujuan-tujuan politik mereka. Selain daripada itu, mereka juga menyalahgunakan kuasa politik mereka untuk mendapatkan projek-projek di daerah itu daripada Pegawai Daerah yang berkuasa penuh. Ini melemahkan sistem pengurusan dan mengakibatkan pelbagai masalah dan penyelewengan dalam pentadbiran itu. 

Kenapakah dua jawatan itu perlu dipegang oleh orang yang sama? Jika jawatan-jawatan itu diberikan kepada dua individu yang berlainan maka ini akan melicinkan lagi perjalanan Pejabat Daerah dan juga Majlis Daerah. Tambahan pula, ini akan mengelakkan pertindihan kuasa dan menjamin ‘semak dan imbang’ di peringkat daerah. Ini merupakan satu cadangan untuk memperbaiki ‘delivery system’ kita di peringkat mikro. Kerajaan harus memikirkan jalan bagaimana melaksanakan pembahagian kerja ini supaya produktiviti di semua jabatan ini dapat ditingkatkan.  Selain daripada itu, meringankan beban kerja Pegawai Daerah akan meningkatkan mutu dan produktiviti di setiap daerah.

Selasa, 20 Disember 2011

SJKT Menglembu : Jangan Memberi Janji Kosong Lagi


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh pada 20/12/2011 di Ipoh.
SJKT Menglembu : Jangan Memberi Janji Kosong Lagi

Saya rasa kecewa dengan kenyataan media Dato Veerasinggam, Pengerusi MIC Negeri Perak  dan juga Penasihat Kepada Menteri Besar Perak berhubung dengan isu SJKT Menglembu. Sekali lagi beliau cuba memberi janji kosong tanpa sebarang asas yang kukuh. Beliau cuba membina bangunan di atas langit bahawa masalah bangunan  SJKT Menglembu sudah selesai. Beliau berkata bahawa bangunan baru akan dibina untuk SJKT Menglembu tidak lama lagi. Janji-janji seperti ini pernah dibuat berulang kali di masa yang lampau. Tetapi, setakat ini satu bata pun belum sampai ke tapak sekolah tersebut. Beliau juga berkata MIC akan memastikan  bangunan baru untuk SJKT Menglembu tidak lama lagi. Bolehkan MIC dipercayai? Orang ramai dan ibubapa merungut bahawa mereka sudah basi mendengar janji-janji kosong seperi ini. Apatah lagi pada musim pilihanraya, Barisan Nasional akan membuat ratusan janji kosong yang tidak akan ditunaikan selepas pilihanraya. Rakyat Malaysia sudah muak dengan taktik kotor ini. 

Dato Veerasinggam juga berkata bahawa MIC  adalah parti politik yang menjaga sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Adakah ini benar? Selepas zaman kolonial British, negara kita mempunyai lebih daripada 1000 sekolah Tamil di merata tempat. Kini, tinggal hanya 523 sekolah tamil di negara kita. Di mana perginya lebih kurang 500 buah sekolah Tamil dalam tempoh 50 tahun. Inilah pencapaian MIC yang dibanggakan oleh MIC dan Dato Veerasinggam. 

Berapakah sekolah Tamil baru  yang  telah  dibina oleh MIC selepas kemerdekaan? Kenapakah lesen-lesen sekolah Tamil yang ditutup tidak digunakan untuk membina sekolah-sekolah Tamil yang baru di negara ini. Kalau ditanya tentang perkara ini, pelbagai alasan yang  tidak munasabah diberikan oleh MIC. Akhirnya MIC telah menjadikan masyarakat India sebagai pengemis kepada kerajaan. Kita terpaksa tunggu bertahun-tahun lamanya  untuk kerja-kerja baik pulih  di sekolah-sekolah Tamil yang sedia ada. Sedangkan, kerajaan ini boleh membuang berjuta-juta ringgit dalam projek-projek gajah putih yang tidak berfaedah kepada rakyat. MIC sepatutnya berasa malu kerana kegagalan mereka menjaga sekolah-sekolah Tamil di negara ini. Tetapi, pemimpin-pemimpin MIC pula berasa bangga dengan pencapaian yang merosot ini. 

Jika benar kerajaan serius untuk membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu, Dato Veerasinggan harus meenjawab beberapa persoalan dengan  serta-merta :

1)      Sudahkan Kerajaan  Persekutuan meluluskan wang peruntukan untuk membina SJKT Menglembu secara khususnya?
2)      Berapakah jumlah wang telah diperuntukan untuk membina sekolah tersebut?
3)      Bilakah kerja-kerja pembinaan akan dimulakan?
4)      Bilakah bangunan baru dijangka siap dibina?
5)      Apakah struktur  baru yang dirancang untuk bangunan baru sekolah tersebut.

Dato Veerasingam harus menjawab soalan-soalan ini dan bukannya memberi janji kosong dengan berkata ‘ bangunan akan dibina tidak lama lagi’, ‘MIC menjaga sekolah Tamil’, dan macam-macam alasan lain untuk melarikan diri.

MENYERAH MEMORANDOM KEPADA JPN BERKENAAN MASALAH SJKT MENGLEMBU

KHIDMAT NASIHAT UNDANG-UNDANG PERCUMA DI PUSING

MEMBANTU 4 ORANG WARGA TUA DAN SEORANG OKU MEMOHON BANTUAN KEBAJIKAN

Petani Kinta Kellas Membuat Laporan SPR



Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, Pengerusi Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Batu Gajah, ADUN Kawasan Tronoh pada 19 Disember 2011 di SPRM Ipoh, Taman Meru. 

Petani Kinta Kellas Membuat Laporan SPR

Seramai  enam belas keluarga petani dan penternak membuat laporan SPRM di Ipoh pagi tadi. Mereka telah memberi maklumat awal kepada SPRM berhubung dengan masalah tanah pertanian mereka di kawasan Bakap, Mukim Sungai Terap.  Kawasan ini berhampiran dengan Kinta Kellas, Jalan Gopeng. 

Petani-petani dan penternak-penternak ini mengusahakan tanah ini selama lebih kurang 10 tahun. Sebelum itu, mereka menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian di satu kawasan yang bersebelahan selama beberapa tahun lamanya. Selepas tanah itu telah diambil alih oleh Maju Perak, mereka terpaksa mencari tanah baru untuk diteroka. Menurut salah seorang petani, pada masa itu kerajaan telah mencadangkan supaya mereka berpindah ke tanah baru yang berhampiran juga merupakan tanah milik kerajaan negeri.

Golongan petani ini telah bersetuju dan berpindah ke tanah baru itu. Mereka telah membersihkan hutan dan menanam modal beribu-ribu ringgit untuk membuka tanah pertanian baru.  Enam belas keluarga itu mengusahakan tanah seluas lebih kurang 80 ekar.  Mereka telah menaruh kepercayaan penuh terhadap kerajaan bahawa satu hari nanti kerajaan akan memberi hakmilik tanah kepada mereka. 

Selepas berpindah dan melakukan aktiviti pertanian di tanah itu selama beberapa tahun, petani-patani dan penternak-penternak telah membuat keputusan untuk memohon tanah itu daripada kerajaan negeri.  Pada tahun 2009, setiap keluarga telah memohon tanah seluas enam ekar untuk pelbagai aktiviti pertanian seperti menanam sayur-sayuran, menternak ayam, itik,  kambing, lembu, kerbau dan ikan air tawar. Selepas permohonan dibuat, pihak Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah dan agensi-agensi kerajaan yang lain telah melawat tapak tersebut. 

Selain daripada itu, kesemua enam belas petani-petani dan penternak-penternak itu telah dipanggil untuk menghadiri temuduga di Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah pada 17 Ogos 2010. Sehingga tarikh itu, tanah tersebut masih lagi merupakan tanah milik kerajaan negeri. 

Baru-baru ini petani-petani dan penternak-penternak tersebut  datang berjumpa dengan saya kerana hendak mengadu masalah yang mereka hadapi. Mereka tidak berpuas hati dengan pihak-pihak tertentu yang mengambil pasir di kawasan berhampiran tapak pertanian mereka. Mereka risau bahawa ini merupakan satu pencerobohan yang boleh mengganggu dan menjejaskan aktiviti pertanian mereka pada masa hadapan.  Meraka juga bimbang bahawa orang-orang yang terlibat dalam aktiviti mengambil pasir itu akan memasuki kawasan pertanian mereka tidak lama lagi. 

Persoalan pertama yang timbul daripada masalah yang dibangkitkan ialah samada pihak yang mengambil pasir itu mempunyai lesen dan kelulusan daripada pihak Pejabat Tanah dan Daerah Batu Gajah, Kinta.  Persoalan kedua ialah apakah status permohonan tanah yang dibuat oleh petani-petani dan penternak-penternak ini?

Untuk menjawab kedua-dua persoalan itu, saya telah mencadangkan kepada mereka supaya pergi terus ke Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah untuk mendapatkan maklumat yang sebenar.  Saya telah membawa petani-petani dan penternak-penternak ini ke Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah pada penghujung bulan Oktober 2011. Apabila semakan dibuat melalui seorang kakitangan pejabat itu, kami dimaklumkan bahawa tanah itu sudah diberikan hakmilik kepada orang  lain. Perkara ini telah mengejutkan semua petani-petani dan penternak-penternak yang berada di situ pada hari itu. 

Kemudian saya mencadangkan supaya pergi ke bahagian lain untuk menyemak pelan tanah itu untuk memastikan kebenaran maklumat yang diperolehi sebentar tadi. Apabila menyemak pelan kawasan, memang dipastikan bahawa tanah itu telah diberi hakmilik kepada orang lain. Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah keseluruhan tanah itu diberikan kepada seorang yang tidak pernah mengusahakan tanah tersebut. Saya sendiri telah melihat nama orang itu tertera di atas kain pelan dengan lakaran merah di kawasan yang dimaksudkan. Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Apakah rasional kerajaan memberikan tanah itu kepada seorang yang tidak langsung mengusahakan tanah tersebut sedangkan petani-petani dan penternak-penternak yang sedia ada diabaikan? Ini merupakan satu ketidakadilan kepada golongan petani-petani dan penternak-penternak yang bergantung kepada tanah itu untuk menyara hidup mereka.

Setelah itu, saya telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan salah seorang pegawai atasan di Pejabat Tanah dan Daerah Kinta, Batu Gajah untuk mengadu penyelewengan ini. Dalam perjumpaan dengan pegawai atasan itu, beliau pula memberi maklumat bahawa memang benar tanah itu pernah diluluskan kepada seorang tetapi kini kelulusan itu telah dibatalkan.

Apakah status tanah ini sekarang? Adakah tanah ini tanah hakmilik atau masih lagi tanah kerajaan negeri? Kenapa tanah itu diluluskan kepada seorang yang tidak mengusahakan tanah itu? Kenapa pula kelulusan itu dibatalkan kemudian? Adakah ini merupakan satu lagi salahguna kuasa dengan meluluskan tanah kepada kroni dengan cara menindas petani-petani dan penternak-penternak yang miskin? Adakah aktiviti-aktiviti pengambilan pasir di kawasan itu dilakukan secara halal atau haram? 

Saya juga telah membangkitkan isu ini di Persidangan Dewan Negeri Perak pada 24/11/2011. Tetapi, perkara yang dibangkitkan oleh saya tidak dijawab dalam ucapan penggulungan yang dibuat oleh Menteri Besar Dato Seri Zambry. Setakat ini, saya juga tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada mana-mana pihak berhubung dengan perkara yang bangkitkan setakat. Ini mengukuhkan lagi kecurigaan semua pihak  yang terlibat mengenai masalah kelulusan tanah ini. Berikut adalah teks ucapan saya dalam sidang DUN yang lepas:

Baru-baru ini sekumpulan petani dan penternak dari kawasan Bakap, bersempadan dengan Kinta Kellas telah datang berjumpa dengan saya. Mereka mengadu bahawa tanah yang mereka mohon itu telah dicerobohi oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan mengambil pasir (mungkin curi pasir). 

Saya telah membawa mereka ke Pejabat Tanah & Daerah Batu Gajah untuk menyemak status permohonan tanah tersebut, mengikut rekod komputer dan pelan di pejabat itu  didapati  bahawa keseluruhan tanah yang mereka mohon itu telah diberi milik kepada seorang yang tidak mengusahakan tanah itu. Ini telah memeranjatkan semua pemohon yang datang pada hari itu. Kemudian apabila perkara ini dirujuk semula kepada pegawai atasan, kami dimaklumkan bahawa tanah itu memang telah diluluskan kepada seorang lelaki dan kemudiannya telah dibatalkan kelulusan itu oleh kerajaan negeri. Saya rasa amat curiga dengan aktiviti meluluskan tanah dan kemudian membatalkan kelulusan itu secara sewenang-wenangnya. Mohon YAB Menteri Besar memberi penjelasan mengenai perkara ini juga.

Oleh kerana banyak persoalan yang mengenai isu tanah tersebut masih tidak terjawab sehingga hari ini, maka petani-petani dan penternak-penternak telah mengambil keputusan untuk memberi maklumat awal kepada pihak SPRM untuk menyiasat dan melaporkan perkara yang sebenar dengan kadar segera. Petani-petani dan penternak-penternak ini sungguh mengharapkan kerajaan supaya meluluskan tanah yang mereka memohon itu jika benar ‘rakyat didahulukan’.

Isnin, 19 Disember 2011

Pimpinan MIC Takut Perkasa

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh  pada 19/12/2011 di Ipoh.

Novel Interlok telah menjadi bahan kontroversial sejak buku itu dijadikan teks wajib untuk pelajar-pelajar Sastera Melayu peringkat SPM. Pelbagai pihak menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap novel itu kerana menyentuh isu-isu perkauman yang sensitif. Ada banyak perkara yang menghina dan mengguris hati pelbagai pihak di negara ini. Buku ini mengutuk semua kaum dengan perkataan-perkataan kasar dan menyinggung perasaan. Buku ini tidak sesuai dijadikan teks wajib untuk anak murid kita yang masih di bangku sekolah.

Pertama sekali buku ini tidak sepatutnya diperkenalkan sebagai buku teks wajib di peringkat SPM.  Kementerian Pelajaran Malaysia seharusnya mempunyai satu jawatankuasa  atau bahagian untuk mengkaji semua buku-buku teks supaya perkara seperti penghinaan terhadap mana-mana kaum dapat dielakkan. Tindakan ini harus dilakukan sebelum mana-mana buku teks dimasukkan dalam  sukatan pelajaran di Malaysia.  Kementerian Pelajaran telah gagal berbuat demikian. Akhirnya berpuluh ribu ringgit telah dibelanjakan untuk mencetak novel tersebut. Ini merupakan satu salah laku oleh Kementerian Pelajaran kerana cuai dalam menjaga sensitiviti kaum. Persolannya samada Kementerian Pelajaran tahu atau tidak tentang isi kandungan buku novel itu pada peringkat awal? Mungkin juga Kementerian Pelajaran tahu dan sedar perkara kontroversial buku itu. Tetapi, sengaja memasukkan novel itu ke dalam sukatan pelajaran SPM. Apakah niat sebenar kerajaan, masih tidak diketahui lagi.

Walau bagaimanapun, banyak tentangan dan desakan daripada ahli-ahli politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai telah membawa isu ini ke kemuncak kontroversi. Kerajaan berdegil untuk meneruskan buku itu walaupun tentangan hebat oleh banyak pihak. Kerajaan tidak mahu tunduk kepada kehendak rakyat kerana sebab-sebab politik tertentu. MIC pula tidak pernah menentang buku Interlok ini secara keras-keras. Mereka hanya mengeluarkan beberapa kenyataan lembut dalam  media dan beberapa perbincangan untuk menjaga hati masyarakat India. Mereka berpura-pura menentang novel Interlok itu.  Mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana budaya ‘pak angguk’ kepada UMNO  yang telah berakar umbi selama bertahun-tahun lamanya. MIC akan bersetuju dengan apa sahaja arahan pihak UMNO. Mereka tidak berani lawan atau menyuarakan pendapat kerana kepentingan politik mereka. MIC gagal memperjuangkan hak orang-orang India di negara ini. MIC sudah tidak relevan dalam politik negara kita. 

Sungguh sedia apabila MIC pada mulanya bersetuju dengan UMNO hanya mengubah perkataan-perkataan sensitif dalam buku itu dan diteruskan sebagai teks wajib. Maruah orang-orang India sanggup digadai semata-mata untuk kepentingan dan kedudukan politik mereka. Rakyat Malaysia kini sedar tentang sandiwara MIC yang tidak boleh dipercayai lagi. 

Baru-baru ini apabila diumumkan buku Interlok digugurkan daripada sukatan pelajaran SPM tahun 2012, pihak PERKASA telah menghina kaum India sebagai biadap dan besar kepala. Setiausaha Agung PERKASA juga menghina kaum India sekali lagi dengan mengatakan bahawa kandungan novel Interlok itu adalah satu fakta. 

Setakat ini tidak ada pimpinan tertinggi MIC yang berani melawan PERKASA. Kalau benar MIC  memperjuangkan hak orang-orang India, MIC seharusnya berani lawan PERKASA bermati-matian untuk menjaga maruah orang-orang India di negara ini. Tetapi, kita tahu MIC tidak akan berbuat demikian kerana takut hilang kepentingan dan pengaruh dalam permainan politik UMNO.  Bagi UMNO, MIC adalah hanyalah seperti  ‘gajah putih ditambat’, iaitu tidak mendatangkan keuntungan tetapi terpaksa menanggungnya juga.  PERKASA  harus memohon maaf kepada kaum India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina dan mengaibkan. Adakah UMNO akan mengambil tindakan terhadap PERKASA adalah satu tanda tanya. Sebagai rumusan,  pimpinan MIC takut kepada PERKASA dan gagal memperjuangkan kepentingan dan hak orang-orang India di negara  ini.

Ahad, 18 Disember 2011

Program Khidmat Nasihat Undang-undang Percuma


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh di Pusing pada 15 Disember 2011


DAP cawangan Pusing telah menganjurkan program Khidmat Nasihat Undang-undang Percuma pada 15 Disember 2011. Ini merupakan program kedua yang dianjurkan di DUN Tronoh dalam tahun ini. Tiga orang peguam Pakatan Rakyat iaitu Anthony Augustinte, Baldip Singh dan Bah Tony telah memberi khidmat nasihat percuma kepada orang ramai berhubung dengan pelbagai masalah seperti isu tanah, kontrak, rumahtangga, kemalangan, kecuaian hospital dan sebagainya.

Program ini mendapat sambutan hangat dari kalangan penduduk Pusing dan sekitarnya. Turut hadir dalam program ini ialah YB V. Sivakumar (ADUN kawasan Tronoh), Teh Hock Ke (Setiausaha Organisasi DAP Perak), Chan Chin Fah (Pengerusi DAP Pusing), Vijakumar (Pengerusi DAP Batu Gajah Utara) dan pemimpin-pemimpin tempatan daripada DAP, PAS dan PKR. 

Program ini telah berjalan dengan lancar dan tindakan susulan akan diambil bagi membantu mereka yang memerlukan. DAP bercadang untuk mengadakan program seperti ini dengan lebih kerap lagi bagi membantu golongan miskin mendapat bantuan khidmat nasihat guaman percuma bagi masalah yang mereka hadapi. Penganjur program mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam yang meluangkan masa dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. 

Interlok Dibuang, Satu Kejayaan Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Perak , ADUN Kawasan Tronoh di Batu Gajah pada 17 Disember 2011

Menurut Timbalan Presiden MIC yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia, novel Interlok yang kontroversial akan ditarik keluar daripada sukatan pelajaran pada tahun hadapan. Novel perkauman ini telah menimbulkan suasana hangat sejak ia dimasukkan sebagai teks sastera  Melayu  Sijil Pelajaran Malaysia.  Ramai pemimpin-pemimpin dan rakyat jelata dari semua kaum menimbulkan rasa tidak puas hati mengenai buku novel ini yang mengkutuk dan menghina semua kaum di Malaysia. Novel ini tidak sejajar  dengan dasar kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Malah, perkara-perkara yang disentuh dalam buku ini boleh mencetuskan perpecahan kaum dan perasaan marah serta benci-membenci antara satu sama lain.

Isu novel ini pernah dibahaskan dalam Dewan Rakyat oleh Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun tentangan hebat diberikan oleh wakil-wakil Barisan Nasional untuk mempertahankan  novel ini. Pelbagai forum dan perbincangan juga telah diadakan di luar Parlimen untuk menuntut supaya Kementerian Pelajaran menggugurkan novel Interlok ini daripada sukatan pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia. Tetapi, pihak kerajaan tidak mahu tunduk kepada desakan rakyat terutamanya daripada pemimpin-pemimpin kaum India di negara ini.

Selepas itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat keputusan untuk mengubahsuai ungkapan-ungkapan sensitif dalam  novel itu. Kerajaan tidak berhasrat untuk menggugurkan buku novel interlok  walaupun pelbagai pihak tidak bersetuju sekadar mengubah ungkapan-ungkapan yang sensitif. Buku itu bagaikan ‘cicak yang jatuh dalam gulai’. Bolehkah kita makan gulai itu setelah cicak dibuang? Gulai itu tetap beracun.
Kini, kerajaan telah mengumumkan bahawa buku Interlok akan  dibuang daripada sukatan pelajaran pada tahu hadapan. Ini adalah satu tindakan yang bijak dan seharusnya telah dilaksanakan lebih awal lagi. Kerajaan tidak menghormati sensitiviti kaum dalam konteks 1Malaysia. Oleh kerana, desakan dan bantahan yang berterusan oleh pelbagai pihak maka kerajaan terpaksa tunduk kepada kehendak rakyat. Ini merupakan satu lagi kejayaan rakyat mententang ketidakadilan yang berbau perkauman. 

Timbalan Perdana Menteri  yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhiddin Yassin berdegil tidak akan gugurkan buku  novel ini dalam apa jua keadaan sekalipun. Beliau berkeras untuk mempertahankan novel ini dalam beberapa ucapan dan komen yang dibuat oleh beliau.  Tetapi tekanan dan desakan oleh pemimpin-pemimpin India yang bertulang belakang dengan kerjasama media-media Tamil serta sokongan dan dokongan daripada orang ramai telah memaksa kerajaan untuk mengubah pendirian. Menurut Dato’ Dr Subramaniam, Timbalan Perdana Menteri sudah bersetuju untuk menggugurkan novel perkauman ini. Walau bagaimanpun, pengumuman itu masih belum dibuat oleh Menteri  Pelajaran itu sendiri.  Walau bagaimanapun, tahniah dan syabas diucapkan kepada pemimpin-pemimpin seperti Dato Haji Thasleem yang tidak pernah leka dan putus asa dalam memperjuangkan  isu novel interlok ini. 
  
Kerajaan Barisan Nasional risau bahawa novel Interlok ini akan menjadi isu hangat dalam kempen pilihanraya akan datang. Dalam ceramah-ceramah Pakatan Rakyat sering kali isu Interlok dipanaskan untuk memberi tekanan kepada kerajaan. Akhirnya kerajaan terpaksa menggugurkan novel Interlok ini semata-mata untuk menjaga hati masyarakat India. Walau apa pun niat kerajaan, ini merupakan satu kejayaan kepada pihak rakyat secara keseluruhannya.