Selasa, 24 April 2012

PELANCARAN BERSIH 3.0 PARLIMEN BATU GAJAH

Pelancaran Bersih 3.0  Parlimen Batu Gajah       

Tempat : First Garden, Siew Kee Restoran 

               (Belakang kedai elektrik Seng Heng)

Tarikh   : 25/4/2012 @ 10.00am 

Sila datang berbaju kuning. Diikuti dengan sidang media.

Terima kasih.

YB. V.Sivakumar, YB Lim Pek Har & Sdr Teh Hock Ke.


Ahad, 15 April 2012

Bahaya Banjir Di Chenderong Jika Tebing Sungai Kinta Tidak Dibaik Pulih


Kenyataan Media YB V,Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 14/4/2012 di Chenderong. 

Bahaya Banjir Di Chenderong Jika Tebing Sungai Kinta Tidak Dibaik Pulih

Tebing Sungai  Kinta di belakang Chenderong berada dalam keadaan yang bahaya. Saya dimaklumkan bahawa terdapat tiga tempat di mana berlakunya tebing runtuh. Ini adalah kerana kadar hakisan yang melampau. Kuantiti air yang meningkat akibat hujan lebat baru-baru ini menyebabkan hakisan yang tidak terkawal di beberapa tempat sepanjang Sungai Kinta. Jika tebing runtuh dan tidak dapat mengawal keadaan , ini akan mengakibatkan banjir kilat di kawasan sekitarnya. 

Saya menerima aduan bahawa terdapat tebing runtuh yang agak buruk di belakang Chenderong. Saya bersama beberapa orang ahli Pakatan Rakyat telah membuat lawatan tapak kejadian itu. Tebing runtuh yang dikenal pasti ialah di KM6 dari Kampung Pisang, Batu Gajah. Air telah melimpah ke atas tebing dan menghakis tanah tebing  sungai itu secara luas dan mendalam. 

Saya difahamkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kinta telah dimaklumkan tentang kerosakkan tebing sungai ini. Laporan polis juga telah dibuat oleh orang-orang tertentu berhubung dengan kejadian tebing runtuh ini. Pihak JPS harus mengambil tindakan segera supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini seperti  banjir di Kuala Dipang, Kampar.

Pihak JPS harus menyelesaikan  masalah Sungai Kinta dalam jangka pendek dan perlu mengkaji tindakan-tindakan jangka panjang supaya tidak berlaku banjir akibat tebing runtuh di kawasan ini. Kerajaan negeri harus menyediakan peruntukan yang memadai untuk kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan Sungai Kinta dengan lebih baik. Pihak JPS harus memastikan tidak berlaku banjir di sepanjang Sungai Kinta kerana kecuaian pihak-pihak tertentu. 

Saya bercadang untuk berjumpa  dengan Pengarah JPS Negeri Perak untuk membincangkan beberapa hal penting berhubung dengan masalah Sungai Perak. Antaranya ialah tindakan-tindakan yang  akan diambil oleh Pihak JPS untuk mengatasi masalah banjir di Sungai Kinta dalam jangka pendek dan jangka panjang.

Taman Tronoh Jaya Sakit Dipandang Mata


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 14/4/2012 di Tronoh
Taman Tronoh Jaya Sakit Dipandang Mata



Setiap Majlis Daerah mempunyai tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan yang berada di bawah kawal seliannya. Kebersihan harus diberi keutamaan oleh Majlis Daerah. Sering kali tanggungjawab ini diabaikan oleh Majlis Daerah dan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang lain. Sebagai contoh di Taman Tronoh Jaya, Majlis Daerah Batu Gajah tidak mempedulikan rumput-rumput yang panjang di kebanyakan rumah-rumah terbiar  atau kosong. Di Taman Tronoh Jaya terdapat beberapa puluh rumah yang tidak berpenghuni. Rumah-rumah ini ditumbuhi rumput yang panjang dan tidak dibersihkan. 

Pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil inisiatif untuk memotong rumput-rumput yang panjang ini. Perkara ini menyebabkan sebahagian besar kawasan taman ini tidak indah untuk pandangan. Tambahan pula semak di dalam kawasan rumah terbiar juga adalah bahaya. Mungkin ada ular atau serangga lain yang  boleh membahayakan keselamatan penduduk taman ini. Ramai kanak-kanak di taman ini  sering bermain  berhampiran dengan rumah-rumah terbiar ini. Ada juga penghuni rumah taman ini yang mengadu pernah nampak ular di semak rumah-rumah  yang terbiar itu. 

Saya tidak tahu kenapa Majlis Daerah Batu Gajah tidak mengambil sebarang tindakan mengenai masalah yang dibangkitkan ini. Perkara yang harus diberi keutamaan dibiarkan untuk sekian lama. Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah hanya menerima elaun buta kerana tidak turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat. Mereka juga tidak prihatin terhadap masalah tempatan yang dibawa kepada perhatian Majlis  Daerah.

Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah melawat DUN Tronoh pada 12/4/2012. Beliau dibawa ke kawasan-kawasan yang tidak ada masalah. Pepimpin-pemimpin BN tempatan hanya membawa beliau ke kawasan-kawasan yang  ‘jernih’.  Zambry tidak dibawa ke tempat-tempat yang keruh dan bermasalah. Tidak ada guna turun padang hanya untuk tunjuk muka tetapi tidak menyelesaikan masalah rakyat. Zambry harus memberitahu pegawai-pegawai kerajaan negeri  supaya membawa beliau ke tempat-tempat yang ada masalah, bukannya ke tempat-tempat tidak ada masalah.

Sabtu, 14 April 2012

SPRM Perlu Dedahkan Hasil Siasatan Isu Tanah Pertanian di Bakap


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh, pada 13/4/2012 di Batu Gajah


SPRM Perlu Dedahkan Hasil Siasatan  Isu Tanah Pertanian di Bakap

Seramai enam belas keluarga petani dan penternak membuat laporan SPRM di Ipoh  pada  19/12/2011. Mereka telah memberi maklumat awal kepada SPRM berhubung dengan masalah tanah pertanian mereka di kawasan Bakap, Mukim Sungai Terap.  Kawasan ini berhampiran dengan Kinta Kellas, Jalan Gopeng. Petani-petani dan penternak-penternak ini mengusahakan tanah seluas lebih kurang 80 ekar ini selama lebih kurang 10 tahun. 

Mereka telah membersihkan belukar di kawasan itu untuk dijadikan tapak pertanian dan penternakan mereka. Kegiatan ini merupakan satu-satunya  sumber pendapatan untuk keluarga mereka. Mereka telah membelanjakan banyak wang untuk membersihkan dan mengusahakan tanah ini. Walaupun mereka mengusahakan tanah ini secara haram, kerajaan harus prihatin terhadap kebajikan mereka. Jika mereka diberi hak tanah untuk kegiatan pertanian, sudah tentu mereka akan melipat gandakan usaha dan meningkatkan lagi modal. Ini akan memberi keuntungan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri.

Sebelum berpindah ke kawasan itu, mereka menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian di satu kawasan yang bersebelahan selama beberapa tahun. Mereka mengalami kerugian besar apabia mereka dipaksa untuk keluar dari tanah yang mereka usahakan. Selepas tanah itu telah diambil alih oleh Maju Perak, mereka terpaksa mencari tanah baru untuk diteroka. Mereka telah membersihkan hutan dan menanam modal beribu-ribu ringgit untuk membuka tanah pertanian baru di Bakap.  

Selepas berpindah dan melakukan aktiviti pertanian di tanah itu selama beberapa tahun, petani-patani dan penternak-penternak telah membuat keputusan untuk memohon tanah itu daripada kerajaan negeri.  Pada tahun 2009, setiap keluarga telah memohon tanah seluas enam ekar untuk pelbagai aktiviti pertanian seperti menanam sayur-sayuran, menternak ayam, itik,  kambing, lembu, kerbau dan ikan air tawar. 

Apakah status permohonan tanah yang dibuat oleh petani-petani dan penternak-penternak ini? Saya juga telah membangkitkan isu ini di Persidangan Dewan Negeri Perak pada 24/11/2011. Tetapi, tidak dijawap dalam ucapan penggulungan yang dibuat oleh Menteri Besar. Saya memang berhajat untuk membangkitkan sekali lagi isu ini dalam persidangan DUN Perak yang lepas. Malangnya, saya tidak diberi peluang lansung untuk berbahas dalam persidangan kali ini. Maka, perkara ini tidak dapat dibawa untuk perhatian seluruh isi Dewan Negeri Perak.

Walau bagaimanapun, penternak-penternak dan petani-petani kawasan Bakap berhak mengetahui hasil siasatan yang dibuat oleh SPRM mengenai isu tanah itu. Sudah lebih 3 bulan perkara ini dibiarkan untuk menghilangkan kehangatan isu tersebut. SPRM mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan sebarang penyelewengan dalam isu petani-petani dan penternak-penternak ini.

Khamis, 12 April 2012

Pendedahan Samy Mengelirukan Rakyat


Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh pada 11/4/2012 di Tronoh

Pendedahan Samy Mengelirukan Rakyat

Datuk Seri Samy Vellu tiba-tiba membuat kenyataan media  bahawa kekalahan beliau di Sungai Siput dalam PRU12 adalah kerana anti kempen yang disusun  oleh Tun Mahathir. Pertama sekali, kenapakah perkara ini tidak dipampang  oleh Datuk Seri Samy Vellu sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihanraya itu? Kedua, kenapakah beliau membuat kenyataan ini selepas 4 tahun selepas PRU 12? Ada sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan pacul  yang dibuat oleh beliau.  Saya rasa  cukup yakin bahawa Datuk Seri Samy Vellu sedar bahawa ‘bermain air basah, bermain api letup’.  Oleh yang demikian, kenyataan beliau itu pasti  dibuat selepas berfikir masak-masak  akan akibatnya. 

Walau bagaimanapun kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Seri Samy Vellu telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia. Datuk Seri Samy Vellu menuduh Tun Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab bagi kekalahannya dalam PRU12. Kenapakah Tun Mahathir mahu Datuk Seri Samy Vellu kalah?  Tun Mahathir dan Datuk Seri Samy Vellu dilihat begitu sahabat akrab dan rakan kongsi utama dalam komponen Barisan Nasional. Perkara ini diketahui dan terpahat dalam minda seluruh rakyat Malaysia. Apa pula yang menyebabkan Tun Mahathir membenci  Datuk Seri Samy Vellu sehingga mahu melihat beliau tumbang dalam pilihanraya. Mesti ada sesuatu sebab yang masih belum diketahui oleh rakyat Malaysia.

Oleh yang demikian, Datuk Seri Samy Vellu harus mendedahkan semua perkara-perkara yang disimpan dalam hatinya sebagai rahsia setakat ini. Datuk Seri Samy Vellu telah berani tampil ke hadapan untuk menuduh Tun Mahathir  yang menamatkan ‘riwayat’ politiknya. Tetapi, pendedahan itu tidak cukup kerana tidak ada bukti yang kukuh untuk kenyataan yang dibuat oleh beliau. Datuk Seri Samy Vellu harus membongkarkan sebab-sebab Tun Mahathir mahu  memalitkan dan menumbangkan beliau. Apakah keuntungan bagi Tun Mahathir jika Datuk Seri samy Vellu kalah dalam pilihanraya.

Datuk Seri Samy Vellu juga perlu mendedahkan kaedah-kaedah yang digunakan oleh Tun Mahathir untuk menumbangkan beliau dalam pilihanraya umum. Ini adalah penting untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa orang yang menghancurkan riwayat politik  seorang Presiden MIC  yang paling berpengaruh ialah Tun Mahathir. Datuk Seri Samy Vellu mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan segala-galanya mengenai orang yang menumbangkan beliau dalam PRU12. 

Kenyataan media Datuk Seri Samy Vellu hanya mengelirukan rakyat dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Maka, beliau perlu menjernih air yang dikeruhkan olehnya beberapa hari yang lalu. Rakyat Malaysia juga berhak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku dalam percaturan politik negara kita sebelum  dan semasa PRU12.

Isnin, 9 April 2012

Pelancaran Bilik Gerakan DAP di Desa Changkat





Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Kawasan Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 9/4/2012 di Desa Changkat, Batu Gajah
Pelancaran Bilik Gerakan DAP di Desa Changkat
Pakatan Rakyat DUN Tronoh sedang membuat persediaan awal untuk menghadapi PRU13. Semalam satu program Hi Tea telah diadakan di Desa Changkat yang lebih dikenali sebagai Indian Settlement. Program Hi Tea ini diikuti dengan satu ceramah kelompok untuk menerangkan perkembangan politik semasa. Antara penceramah-penceramah yang hadir untuk memeriahkan program ini ialah YB Sivasubramaniam (ADUN Buntong), YB Kesavan (ADUN Hutan Melintang) dan Sdr Ngoi (Ahli Vateran DAP dan Bekas Ahli Parlimen Kampar).
 Sebagai tuan rumah  V.Sivakumar juga berucap memberi tahu apakah kejayaan dan khidmat beliau kepada penduduk DUN Tronoh. Walaupun hujan, tetapi jumlah orang yang datang melebihi jumlah yang dianggarkan. Pihak penganjur mencadangkan untuk membuat Hi Tea dan ceramah kelompok untuk 100 orang. Tetapi lebih daripada 150 orang penduduk tempatan menghadiri program tersebut. Sokongan penduduk Desa Changkat kepada Pakatan Rakyat semakin bertambah selepas PRU12. Banyak masalah rakyat telah diselesaikan oleh V.Sivakumar dan Ahli-ahli Majlis Daerah Batu Gajah  dalam tempoh 11 bulan sewaktu Pakatan Rakyat memerintah. Tetapi, selepas Barisan Nasional merampas kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kawasan Desa Changkat ini telah diabaikan semula.
Penduduk Desa Changkat cukup kecewa dengan Ketua-ketua Bahagian UNMO, MCA dan MIC yang hanya mahu undi mereka tetapi tidak mahu memberi sebarang perkhidmatan dan bantuan kepada mereka. Selain daripada itu, penduduk kawasan ini juga sedar bahawa wakil-wakil  rakyat  Barisan Nasional kawasan DUN Tronoh sebelum ini tidak pernah turun padang untuk membantu rakyat. Batang hdung mereka tidak pernah dilihat oleh penduduk kawasan ini kecuali selepas hari penamaan calon untuk mendapatkan undi. Walaupun kawasan ini pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional sebelum PRU 12, sekarang penduduk kawasan ini sudah celik dan dapat membezakan  pendekatan  seorang wakil rakyat Barisan Nasional dan seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Selepas program Hi Tea dan ceramah kelompok, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir telah melancarkan ‘Bilik Gerakan DAP DUN Tronoh di Desa Changkat’. Ini adalah sebagai persediaan awal untuk menjalankan semua aktiviti-aktiviti kempen pilihanraya di kawasan Desa Changkat. Jentera pilihanraya DUN Tronoh akan menganjurkan pelbagai aktiviti kempen pilihanraya  dan program mesra rakyat di kawasan ini untuk meningkatkan lagi sokongan penduduk Desa Changkat.