Jumaat, 18 Disember 2015

Kuil Sri Raja Rajeswari Amman

Sebuah kuil hindu yang dinamakan Kuil Sri Raja Rajeswari Amman sedang dalam proses pembinaan di Kawasan Menglembu. Kuil tersebut merupakan bakal kuil hindu yang terbesar di kawasan tersebut.

Untuk menyiapkan bangunan kuil yang baru, pihak pengurusan masih memerlukan jumlah wang yang banyak. Sebagai tanggungjawab saya, saya telah menyumbangkan sebanyak RM3000.00. 

Harap masyarakat setempat dan rakan-rakan yang beragama Hindu di seluruh negara akan membantu pihak pengurusan kuil tersebut dengan memberi sedikit sebanyak sumbangan.



Program Deepavali di Jelapang Tambahan, DUN Jelapang



Pada 28 November 2015, Jamuan Makan Malam Deepavali telah diadakan di Kawasan Jelapang Tambahan berhampiran Kuil Madurai Veeran. Lebih kurang 200 orang penduduk kawasan tersebut telah menghadirkan diri ke jamuan itu.

Dalam majlis tersebut, saya telah mengambil sedikit kesempatan untuk memberikan ucapan ringkas kepada para hadirin. Ucapan tersebut adalah berkenaan dengan bagaimana cukai GST dan penurunan nilai matawang ringgit akan menjadi masalah ekonomi rumah tangga rakyat Malaysia.

Tambahan lagi, saya juga memberi nasihat kepada para penduduk Jelapang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil untuk memastikan kesinambungan adat, budaya, seni, agama, warisan dan bahasa kaum India di negara ini. Jangan dibiarkan seperti di Indonesia, nama sahaja orang India tetapi pertuturan dalam bahasa Indonesia. Perkara ini bakal menyebabkan kita hilang identiti sendiri.

Saya turut memberi peringatan kepada semua supaya tidak mempersoalkan kewujudan sekolah-sekolah Tamil & Cina di negara ini. Ini adalah hak kebebasan yang diberikan oleh perlembagaan & Akta Pendidikan.


Kualiti Perkhidmat Sektor Kesihatan Perlu Ditingkatkan Jika Malaysia Benar-benar Berhasrat Menjadi Negara Maju

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 5 Disember 2015 di Ipoh

Perkhidmatan kesihatan adalah penting untuk menjamin kualiti hidup rakyat yang baik dan imej negara yang bersasarkan Wawasan 2020 iaitu Malaysia sebagai sebuah negara maju. Sektor kesihatan ini boleh menjadi salah satu faktor penentu kejayaan negara mencapai hala tuju yang dimuktamadkan oleh Perdana Menteri yang Keempat Tun Dr Mahathir.

Jika negara kita tidak mempunyai perkhidmatan kesihatan yang baik, maka adalah tidak wajar untuk  dianggap sebagai sebuah negara maju. Ini adalah kerana salah satu kriteria negara maju ialah mempunyai perkhidmatan kesihatan yang  unggul dan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada kos yang berpatutan.

Sistem kesihatan yang baik juga merupakan kebanggaan sesebuah negara. Kita sudah pastinya mahu negara kita menaikkan taraf perkhidmatan kesihatan kepada taraf dunia ataupun ‘world class’. Tetapi adakah ini boleh dicapai dalam tempoh 5 tahun  akan datang?

Negara kita berhasrat mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. Kita hanya mempunyai satu lagi rancangan  lima tahun iaitu Rancangan Malaysia Yang Ke Sebelas (RMK11) untuk menjayakan aspirasi tersebut. Tetapi, dalam jangka masa 5 tahun itu, bolehkah negara kita meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan pada tahap yang dibanggakan itu? Bolehkah kita bersaing dengan negara-negara maju yang lain?

Saya ingin memberi satu contoh di sini iaitu mengenai klinik kesihatan di kawasan bandar iaitu Klinik Kesihatan Buntong. Klinik Kesihatan Buntong ini sebenarnya terletak di kawasan Parlimen Batu Gajah. Saya tidak menafikan bahawa rakyat setempat telah mendapat akses perkhidmatan perubatan daripada klinik itu. Tetapi, adakah perkhidmatan yang diberikan itu boleh diberi kepujian?

Apabila pelanggan-pelanggan atau pesakit-pesakit klinik kesihatan itu diminta untuk memberi komen, mereka mengemukakan beberapa rungutan yang berasas. Satu daripadanya ialah mengenai masa menunggu yang terlalu lama. Mereka berpendapat klinik berkenaan tidak mencukupi kakitangan.

Pada kebiasaanya, diperhatikan bahawa banyak diantara kaunter-kaunter pendaftarannya  ditutup sepanjang masa. Alasannya ialah tidak cukup kakitangan yang disediakan oleh pihak kementerian. Ini menyebabkan pesakit-pesakit terpaksa menunggu berjam-jam sebelum berjumpa dengan pegawai perubatan.

Selain daripada itu, saya juga difahamkan bahawa tidak ada perkhidmatan ambulans di Klinik Kesihatan Buntong. Adakah ini benar? Jika benar, kenapa? Saya dimaklumkankan bahawa Klinik berkenaan pernah memiliki ambulansnya tersendiri suatu ketika dahulu. Apa telah terjadi kepada ambulans milik Klinik Kesihatan Buntong itu?

Inilah keadaan di sebuah Klinik Kesihatan di kawasan Bandar. Bagaimanakah pula klinik-klinik yang wujud di kawasan luar bandar dan pendalaman? Sudah pasti lebih teruk keadaannya daripada ini. Bayangkan  perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan kepada Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas, kerajaan telah menggariskan 4 strategi untuk mencapai akses sejagat kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti. Strategi-strategi itu ialah seperti berikut:

 1.  Meningkatkan sokongan yang bersasar, khususnya bagi masyarakat yang       kurang mendapat akses kepada perkhidmatan.
     2.     Menambah baik sistem penyampaian untuk ‘outcome’ kesihatan yang           lebih baik.  
     3.    Memperluaskan kapasiti bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan       penjagaan kesihatan
     4.   Mempergiatkan kerjasama antara sektor awam, swasta dan NGO untuk         meningkatkan kesedaran kesihatan.

Pada hemat saya pelaksanaan 4 strategi di atas memerlukan masa yang lebih panjang. Memandangkan keadaaan ekonomi negara yang semakin merudum, adalah sukar untuk mencapai matlamat yang disasarkan itu dalam tempoh 5 tahu akan datang. Walau bagaimanapun, kerajaan harus memberi tumpuan utama kepada sektor kesihatan negara kita dalam soal-soal infra struktur, peralatan, perkidmatan kecemasan, pencegahan penyakit dan  kawalan jangkitan.






Diskriminasi Kenaikan Pangkat Menyebabkan Penglibatan Bukan Melayu Dalam ATM Rendah, Bukan Kerana Tidak Patriotik.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 3 Disember 2015 di Dewan Rakyat.




Dalam perbahasan saya pada peringkat Jawatankuasa, Bajet 2016 Kementerian Pertahanan 30 November 2015, beberapa isu penting telah dibangkitkan. Satu daripada isu yang saya ketengahkan ialah mengenai penglibatan kaum bukan Melayu dalam menganggotai pasukan pertahanan negara yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Saya telah meminta Menteri Pertahanan memberi ulasan mengenai minat orang-orang bukan Melayu menjadi anggota Tentera. Saya juga telah memohonkan kepada Menteri Pertahanan memberikan statistik pengambilan anggota Angkatan Tentera Malaysia mengikut kaum bagi lima tahun yang terakhir.

Saya juga telah melontarkan pandangan pelbagai pihak yang mengatakan bahawa kenaikan pangkat di kalangan anggota tentera bukan Melayu adalah lambat dan sukar. Mungkin ini juga nerupakan satu faktor kenapa orang-orang bukan Melayu tidak begitu berminat untuk menjadi anggota tentera. Saya juga telah meminta Menteri untuk menyatakan jawatan-jawatan tertinggi dalam anggota tentera yang disandang dari kalangan kaum Cina, kaum India, kaum Orang Asli dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak.



Ketika memberi jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Pertahanan berkata, 
"Kebanyakan kes-kesnya tentera ini memanglah Melayu. Jadi mempertahankan kedaulatan negara kita ini kebanyakan Melayulah”.

Kenyataan Menteri Pertahanan ini seolah-olah orang-orang bukan Melayu tidak ada semangat patriotisme mempertahankan ibu pertiwi. Saya telah menyangkal kenyataan Menteri Pertahanan yang secara tersirat mempersoalkan kesetiaan kaum bukan Melayu.

Saya rasa sungguh kecewa dengan kenyataan Menteri yang mempertikaikan semangat patriotisme  dan kesetiaan kaum bukan Melau kepada negara Malaysia.  Saya dengan tegasnya telah membidas kenyataan Menteri di Dewan Rakyat. Saya berkata, “ada faktor-faktor lain yang menyebabkan kaum bukan Melayu tidak mahu terlibat atau memasuki Angkatan Tentera Malaysia. Bukan sebab faktor patrotisme yang dimaksudkan.” 

Saya berhujah bahawa ini adalah rungutan daripada anggota-anggota tentera bukan Melayu yang mendakwa terdapat diskriminasi dalam soal kenaikan pangkat dan sebagainya. Ini merupakan salah satu faktor penolak  yang telah mengagalkan minat kaum bukan Melayu menyertai tentera.

Menteri Pertahanan telah berjanji untuk memberikan statistikmengenai pengambilan dan kenaikan pangkat kaum bukan Melayu secara bertulis. Walau bagaimanapun beliau juga berkata, “kenaikan pangkat di kalangan kaum bukan Melayu adalah sedikit kerana peratusan kaum bukan Melayu adalah sedikit”. Apa yang beliau maksudkan ialah bilangan penyertaan yang kecil menyebabkan kenaikan pangkat  juga kecil di kalangan kaum bukan Melayu.

Pada pandangan saya, kenyataan Menteri Pertahanan adalah tidak rasional. Apabila bilangan kaum Bukan Melayu adalah rendah, ini sepatutnya memberi peluang kenaikan pangkat yang lebih besar kepada golongan ini. Kementerian seharusnya memberi peluang yang lebih banyak kepada kumpulan minoriti.  Ini akan menonjolkan kerelaan pihak Kementerian Pertahanan untuk menggalakan lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai angkatan tentera. Ini juga boleh menjadi faktor penarik kepada mereka. Kerajaan telah gagal dalam aspek itu.  Alasan yang diberikan juga adalah tidak munasabah.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula dasar kenaikan pangkat ATM yang sedia ada untuk memberi peluang kenaikan pangkat tanpa diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu.