Selasa, 21 Februari 2017

Apakah Nasib 41 Ribu Pekerja Kontrak Dalam Perkhidmatan Awam

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 20 Februari 2017 di Ipoh.




Kerajaan seharusnya lebih prihatin terhadap anggota perkhidmatan awam yang dilantik secara kontrak. Ada diantara mereka yang dilantik itu telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun sebagai pekerja kontrak.
Adakah ini adil? Masa hadapan pekerja-pekerja ini adalah tidak menentu. Mereka boleh hilang pekerjaan bila-bila masa sahaja jika khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Tetapi, pekerja-pekerja kontrak ini telah menghabiskan tempoh yang begitu lama bekerja dengan kerajaan. Kerajaan harus memberi perhatian yang serius berhubung dengan hal ini.

Pada 21 November 2016, saya telah menanyakan soalan lisan mengenai pekerja-pekerja kontrak dari kalangan anggota perkhidmatan awam. Saya meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pegawai lantikan secara kontrak dalam perkhidmatan awam yang telah dilantik secara tetap pada tahun 2016 seperti yang dijanjikan oleh kerajaan. Saya juga menanyakan jumlah penjawat awam yang masih berkhidmat sebagai pekerja kontrak sehingga kini.

Yang Berhormat Dato Sri Azalina Binti Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberi jawapan bahawa bilangan pegawai kontrak dalam perkhidmatan awam adalah seramai 41,900 orang. Pada 23 Oktober 2015, Perdana Menteri telah membentangkan Bajet 2016 di Parlimen. Dalam bajet itu, kerajaan memutuskan bahawa pegawai lantikan secara kontrak yang telah berkhidmat 15 tahun atau lebih dan memenuhi syarat yang ditetapkan akan dilantik tetap.

Selaras dengan itu, kerajaan telah mengenal pasti seramai 11,359 pegawai perkhidmatan awam bekerja secara kontrak telah memenuhi syarat tempoh 15 tahun. Daripada jumlah itu, hanya 173 orang pegawai perkhidmatan awam persekutuan telah pun selesai urusan perlantikan tetap sehingga 21 November 2016. Manakala, bakinya 11,186 orang lagi masih dalam proses tapisan oleh Pihak Berkuasa Melantik.

Saya berpendapat kerajaan sengaja melengah-lengahkan proses perlantikan ini. Kerajaan tidak menunjukkan komitmen dalam membantu golongan tersebut. Kerajaan harus menepati janji dalam Bajet 2016 itu. Semua anggota perkhidmatan awam kontrak yang layak harus diserap dijadikan pekerja tetap kerajaan secepat  yang mungkin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan